Tuesday, June 21, 2011

REHLAH NUSANTARA MEMBUDAYAKAN BAHASA ARAB OLEH USIM

Indonesia, 24 Mei 2011 – Buat julung kalinya Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah mengadakan satu lawatan antarabangsa ke Indonesia bagi memperkenalkan Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat IPT Asean di beberapa Universitas Islam yang terdapat di sana.

Menurut maklumat yang diperolehi dari ahli jawatankuasa Kelab Debat, lawatan ini telah dirancang sejak sekian lama. Namun disebabkan beberapa masalah dan halangan yang timbul telah menyebabkan rancangan ini terpaksa ditunda sehingga ke satu tarikh yang bersesuaian.

Seramai 17 orang pelajar termasuk tiga orang jurulatih dan penasihat debat Bahasa Arab telah menyertai lawatan tersebut iaitu Dr. Ahmad Pangidoan Nasution, Encik Hamadallah Mohammad Salleh dan Encik Ahmad Norsyafwan bin Norawavi. Lawatan ini telah berlangsung selama 7 hari bermula 23 Mei 2011 sehingga 29 Mei 2011.

Menurut pengarah program, En. M. Syamsul Anam bin Qamarul Huda, 23, beliau berkata “antara objektif kami mengadakan lawatan seperti ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan universitas-universitas Islam di Indonesia terutamanya Jakarta dan Bandung kerana dua tempat tersebut merupakan tumpuan pertumbuhan universiti-universiti Islam disamping memperkenalkan Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat IPT Asean yang akan di adakan di USIM pada bulan September ini.”

Lawatan yang mengambil masa selama 7 hari ini telah berjaya dilaksanakan apabila tugasan utama mereka iaitu memperkenalkan Debat Bahasa Arab ke beberapa universitas yang ada di sana seperti Universitas Muhammadiyah Jakarta, Universitas Al-Azhar, dan Universitas Islam Nusantara mendapat sambutan yang sangat baik. Mereka juga bersetuju untuk untuk menghantar penyertaan bagi kejohanan tersebut.

Lawatan ini melibatkan pendebat bahasa arab dan juga ahli pengurusan debat. Para pendebat telah mengadakan simulasi debat bahasa arab bagi memberi gambaran kepada pihak universitas di sana tentang bagaimana cara perdebatan ala Parlimen Malaysia. Susulan dari itu, penerangan tentang peranan setiap pendebat, syarat-syarat perdebatan dan syarat-syarat penyertaan telah disampaikan oleh Dr. Ahmad Pangidoan Nasution supaya mereka lebih jelas tentang pengisian pertandingan debat. Sesi soal jawab turut diadakan bagi menjawab segala kemusykilan dikalangan pelajar.

Ketika berada di Universitas Islam Nusantara Bandung, delegasi USIM disambut meriah oleh pihak universitas tersebut. Selawat dan iringan paluan kompang dialunkan ketika menyambut kedatangan mereka di sana. “ Kami berasa sangat terkejut dan terharu dengan sambutan yang diberikan oleh pihak Universitas Islam Nusantara “, kata Nor Kamalia Baharum, salah seorang peserta program lawatan Rehlah Nusantara. Ujar beliau lagi, selepas acara simulasi debat dan juga penerangan mengenai debat Asean berakhir, mereka juga berjumpa Rektor (Canselor) di sana bagi sesi ramah mesra. Akhir sekali, beliau berharap semoga kejayaan Program Rehlah Nusantara ini akan memberi kesan kepada universitas-universitas yang telah dilawati untuk turut sama memeriahkan dengan menyertai Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat IPT ASEAN yang akan diadakan di USIM pada September ini.

Oleh:
Muhamad Taufik Bin Abu Bakar

Nota: Tulisan ini dipetik dari Laman Web USIM (Universiti Sains Islam Malaysia)

No comments: