Monday, June 20, 2011

Simposium Kebudayaan Indonesia - Malaysia

Simposium Kebudayaan Indonesia - Malaysia (SKIM) diselenggarakan secara bergilir sejak tahun 1985 antara Universitas Padjajaran Indonesia dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kerjasama dua hala ini menjadi medan pertemuan antara kedua buah negara bagi membincangkan isu-isu kebudayaan dalam perspektif teori, konsep dan metodologi. Perbincangan isu sebegini dilakukan sejak pelaksanaan SKIM I hingga SKIM XI, dengan tema-tema yang diajukan saling berkaitan dan bersambung dari satu tema SKIM ke tema SKIM berikutnya.

SKIM XI yang diselenggarakan oleh UNPAD pada tahun 2009 mengupas tema “Pembangunan untuk Kesejahteraan dan Perdamaian: Pengalaman Indonesia dan Malaysia”. Tema ini membincangkan pengalaman kedua-dua buah berhadapan dengan isu-isu pembangunan yang memberi nilai kesejahteraan dan perdamaian kepada masyarakatnya, tetapi dalam simposium kali ini isu modal insan akan diketengahkan.

Sebelum ini, apabila kita mengatakan tentang modal, kita melihatnya sebagai aspek kebendaan seperti kewangan, bangunan dan sebagainya. Namun kini era abad ke-21, manusia juga dilihat sebagai modal iaitu modal insan. Sehubungan dengan itu, kebanyakan negara sekarang amat mementingkan pembentukan modal insan untuk pembangunan pelbagai sektor. Manusia dilihat sebagai modal insan dan merupakan aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi, pembangunan negara dan kemajuan sesebuah bangsa di dunia. Modal ini perlu digilap, dibangunkan dan diuji bagi menentukan kemampuannya sebelum dimanfaatkan.

Bertolak dari realiti dan pemikiran demikian, muncul pelbagai persoalan menarik untuk dibincangkan dalam SKIM XII. Dalam kerangka itulah maka tema SKIM XII “Pemerkasaan Modal Insan: Ke Arah Kesejahteraan Serantau” wajar dibincangkan dan dapat memberi sumbangan besar dalam pembangunan spiritual mahupun fizikal di kedua-dua buah negara. Dalam bidang pendidikan misalnya, belum pernah lagi dibincangkan isu berkaitan modal insan terutamanya yang melibatkan Malaysia dan Indonesia. Dengan peningkatan jumlah penduduk berpendidikan tinggi, kita khuatir ia akan menimbulkan kesan negatif seperti pengangguran, masalah sosial dan mencetuskan keadaan kurang aman. Justeru itu, hal berkaitan modal insan seperti dalam bidang pertahanan, keselamatan, ekonomi, pendidikan, social dan sebagainya wajar dibincangkan untuk mendapat gambaran sebenar modal insan di kedua-dua negara.

OBJEKTIF SEMINAR

1. Membina kerjasama serumpun ke arah kecemerlangan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti.
2. Mewujudkan jaringan kesarjanaan dan kepakaran dalam kalangan ahli-ahli akademik dari UKM dan UNPAD secara khusus, dan jaringan bersama universiti- universiti lain, secara umumnya.
3. Membincangkan isu-isu yang menjadi permasalahan bersama Malaysia Indonesia dan membincangkan penyelesaian bersama melalui wacana intelektual dan penyampaian saranan.
4. Menyediakan landasan perbincangan yang bersifat proaktif dan berterusan antara UKM, UNPAD serta universiti-universiti lain di Malaysia dan Indonesia.

Sumber: http://www.ukm.edu.my/skimxii/

No comments: